Sunday, 13 August 2017

Empat A!!

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah maqam tertinggi ketika bersekolah rendah. Segala pelajaran dan usaha semuanya menjurus kepadanya. Pada ketika itu menjadi kelaziman bilangan A ada segala-galanya. Empat A menjadi penanda aras kejayaan bersekolah rendah. Saya juga begitu.

Emak merupakan seorang guru Matematik di tempat saya bersekolah. Pastinya anak seorang guru perlu menjaga kredibiliti dirinya. Itulah yang menjadi falsafah saya. Kemana saja saya pergi pasti akan terdengar bisikan 'anak cikgu'. Begitulah kemuliaan yang menjadi ujian untuk saya. Kini, anak saya juga turut menceritakan fenomena 'anak cikgu' di sekolahnya.

Emak berpesan saya mesti mendapat nombor satu setiap tahun untuk mendapatkan sesuatu ganjaran. Itulah kata-kata yang tersemat di minda merangsang motivasi untuk terus berjuang sehinggakan saya begitu kecewa apabila mendapat nombor 15 ketika di tahun dua. UPSR mesti dapat empat A - pesan emak sentiasa. Saya juga adalah salah seorang pelajar yang tercalon dijangkakan mendapat semua A di dalam UPSR. Syukur kepada Allah empat A menjadi milik saya akhirnya. 

Hal ini berbeza di rumah, saya dikatakan budak nakal yang selalu membuat kacau di kalangan tiga orang adik beradik perempuan yang lain. Saya sedih dengan label tersebut. Lantas saya menyimpan angan-angan untuk hidup berdikari di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Jauh daripada abah dan emak yang selalu memarahi saya. Kepercayaan saya bahawa UPSR boleh membawa saya jauh. Bulat hati ini mahu meninggalkan rumah dengan cara terhormat. 

Sekolah Tunku Kurshiah di Seremban mahu pun Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru menjadi impian saya. Lagi jauh lokasi sekolah tersebut lagi girang hati ini tidak terucap. Surat berwarna warni daripada kakak Farazila yang bersekolah di Sekolah Tunku Kurshiah saya simpan rapi di dalam laci almari. Sesekali surat tersebut dibaca dan saya hanyut dalam angan-angan kehidupan di SBP. Kakak Farazila juga 'anak cikgu'. Begitulah impian seorang kanak-kanak naif yang membayangkan seronoknya hidup berjauhan daripada keluarga. 

Alangkah kecewa rasa hati apabila tiada khabar gembira buat saya untuk bergelar pelajar SBP. Bertambah kecewa apabila kawan saya, Faizal yang mendapat 3A 1B telah mendapat tawaran ke SBP. Sungguh dunia ini tidak adil! Saya memberontak dalam diam, motivasi diri merudum. Hati tertanya-tanya apa yang kurangnya dengan empat A yang saya dapat. Sudahlah begitu, saya tidak dapat ke sekolah elit harian yang ternama sejak dulu di tempat saya. Saya tercampak nun ke 'sekolah kampung' yang 10 kilometer jauhnya dari rumah. Sekolah yang biasa-biasa saja. Takdir itu saya terima seadanya dan membuat persediaan untuk perang Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula. 

Berdikari yang saya impikan selama ini terjawab dalam suasana yang perlu saya pulang ke rumah dengan menaiki bas. Hatta aktiviti petang juga saya terpaksa ke sekolah dengan menaiki bas. Rupa-rupanya Allah sedang menyediakan ketahanan fizikal dan mental untuk saya ke SBP kelak. Sungguh kita merancang namun Allah jualah perancang terbaik.

Surah Yunus. Ayat 36 menyatakan:
Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Hati tersentap. Saya mohon keampunanMu ya Rabb...



No comments:

Post a Comment