Friday, 15 January 2021

Mak sayang siapa?

Adik beradik saya semuanya perempuan. Saya adalah anak kedua daripada empat orang. Mak adalah seorang pendidik yang amat mementingkan isu pendidikan. Dia percaya bahawa dengan ilmu dan sijil pendidikan mampu menyelamatkan anak-anaknya dalam arus kehidupan. Namun mak juga obses dengan teori sindrom anak kedua.

Saya adalah mangsa kepercayaan teori beliau. Saya disifatkan sebagai anak beliau yang paling bermasalah dan paling membuatkan dia merana. Namun saya tidak fikir saya begitu. Mak obses dengan teorinya mengikut nafsu kebencian. Mak kurang ilmu bagi saya. Mak terlalu sayangkan kakak sehingga kakak menconteng arang di muka pun mak masih boleh menerima dan bersungguh-sungguh merahsiakan peristiwa hitam itu daripada saya.


Masa berlalu dan saya juga berpeluang menjadi ibu. Rasanya tidak tergamak untuk melabel yang buruk apatah lagi membenci zuriat sendiri. Ya.. betul dalam ramai anak tidak semuanya sama. Ada yang bersifat unik. Membenci anak sendiri seumpama membenci diri sendiri. Begitulah sefaham saya. Saya nekad untuk tidak membabitkan perasaan sebegitu lagi pada generasi anak-anak saya. Mak berkongsi perasaan jelek itu dengan kakak. Saya dapat merasakan aura negatif itu pada kakak. Sudah lama saya tertanya kenapa kakak terlalu membenci saya? Apa salah saya? Sehinggakan kakak juga pernah membuat percubaan menghasut suami saya untuk agar berada dalam teori yang sama.
Saya disisihkan daripada aktiviti keluarga yang pernah kakak rancang. Alasannya saya sudsh berkeluarga. Sungguh tidak masuk akal.

Kemuncaknya saya tersedar mak dan kakak masih tidak berubah ketika di tanah haram. Sebelum terbang ke sana mak beria memujuk saya dan suami untuk menyertai mereka menunaikan umrah. Bukan saya tidak maklum kedudukan kewangan kami ketika itu. Mak janji untuk belanja kos keseluruhan buat anak dan menantunya. Tiba di sana mak kembali mengungkit mengenai kos itu. Sungguh saya terasa inilah sembilu paling tajam menusuk hingga lubuk hati. Kami dikatakan  pasangan yang suka membazir dengan membeli rumah besar dan kereta besar sehingga tidak mampu menabung. Sepatutnya kedatangan mak ke Mekah dibiayai oleh anak-anak begitulah mak melontarkan kata setajam pedang. Kata-kata mak disokong penuh kakak. Sedangkan kakak sudah dua kali menemani mak untuk ibadat umrah. Semua kos mak tanggung macamlah saya tidak tahu. Allah.. ya Allah. Saya menagih kasih sayang mak kerana dia adalah mak saya dunia akhirat. Kini saya sedar persepsi mak tak pernah berubah.

Saya dimalukan di hadapan adik bongsu ketika peristiwa itu berlaku. Sukar untuk saya melupakan peristiwa ini walaupun saya tahu nilai kemaafan itu besar ertinya. Rezeki menjejak kaki ke tanah suci adalah impian saya dan doa yang selalu saya bisikkan pada tuhan. Saya sangat teruja tetapi peristiwa ini merentap semangat saya. Pulang ke Malaysia saya menghadai tekanan perasaan. Hilang kepercayaan. Keluarga yang biasanya membawa erti segalanya kini tidak seperti saya dambakan. Saya perlu alih fokus kepada keluarga kecil saya.

Rentetan tekanan itu yang menyesakkan dada saya telah berjumpa dengan pakar psikiatri dan psikologis. Saya temui jalan keluar. Hala tuju hidup perlu diubah dengan kekuatan mental dan kekuatan iman. Hidup dan mati kerana Allah.