Friday, 17 August 2018

Kanser

Kanser adalah penyakit yang paling ditakuti. Saintis mengatakan bahawa penyakit ini berpunca daripada kelemahan sistem imunisasi badan untuk melawan serangan penyakit dan bergabung dengan faktor-faktor luaran seperti faktor baka dan pemakanan.
Susur galur keluarga menunjukkan Tok Hawa terkena kanser usus. Dia meninggalkan kami ketika di usia 62 tahun. Begitu juga dengan emak mewarisi penyakit yang sama. Emak sudah berusia 65 tahun tetapi emak seorang perwira yang berjuang melawan kanser tahap tiganya. Berkat ketabahan, emak telah berjaya melalui 12 kali pusingan kimoterapi yang amat menyeksakan. Semoga Allah menambah pahala buat emak kelak.

31 Julai 2018 saya juga turut melalui satu pembedahan buat pertama kali di dalam hidup. Saya juga mewarisi penyakit yang sama tetapi di dalam bentuk yang berbeza. Saya disahkan menghidapi kanser payudara. Perasaan berkecamuk. Terasa langit runtuh menimpa diri yang tidak bersedia. Liang lahat terasa semakin hampir dengan amaran awal ini. Melihat telatah anak-anak bagaikan terasa hati disiat-siat dan dirobek. Lebih terluka melihat si kecil yang baru meniti usia dua tahun dan sangat petah berbicara. Banyak persoalan timbul tanpa jawapan pasti.

Jauh di sudut hati saya tidak mahu melalui kimoterapi mahu pun radioterapi. Pengetahuan dan pengalaman melihat pesakit kanser menghadapi kesan sampingan rawatan ini amat menghantui diri. Sesekali hati memujuk, Allah kan ada. Mengapa tidak dipanjatkan doa untuk dipermudahkan semua urusan?

Pelbagai spekulasi muncul apabila berita tersebar di kalangan kawan taulan. Kawan ada ketika lupa antara beza mengambil berat dan menjaja cerita. Kanser terlalu signifikan dengan kematian lantas cerita pesakit kanser menjadi impak yang besar apabila dijadikan buah mulut. Allah ya Allah.. hanya yang melaluinya sahaja pasti mengetahui betapa dalam dan diskrit perasaan itu. Bohong jika ada yang mengatakan dia sangat memahami perasaan itu melainkan dia juga pernah menderitai penyakit yang sama. Manusia memang mudah lupa!

Al-Hashr (59:19)
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.

Saya terus memujuk hati agar terus bertabah dalam menghadapi dugaan ini. Pasti ada hikmah yang amat besar atau Allah mahu menggugurkan dosa saya atau mungkin juga memakbul doa saya untuk ke syurga tanpa dihisab...

Hadis Sahih Bukhari jilid 4 nombor 1658 menyuntik semangat saya.
"Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu mengugurkan daunnya."

Friday, 6 April 2018

RM 2560

Menelusuri kisah tragis di Jenan pada tahun 2000 sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dan kisah haji abah dan mak.

Sumber: pakcik Google

Pastinya saya tidak melepaskan peluang untuk mengirimkan doa kepada mak dan abah untuk mendoakan kejayaan SPM saya di hadapan Kaabah. Ketika itu saya kurang ilmu mengenai konsep berdoa yang boleh dilakukan di mana-mana saja malah waktu terbaik adalah di sepertiga malam. 

Allah turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata: 'Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepadaKu akan aku ampuni hingga terbit fajar. 
(HR Bukhari 1145, Muslim 758)

Sepeninggalan abah dan mak ke tanah suci Mekah abah telah meninggalkan sekeping kad ATM sekiranya saya memerlukan wang untuk keperluan ketika bersekolah asrama. Duit poket yang biasa saya perolehi tak lebih daripada RM100. Saya amat risau dengan kehadiran kad ATM itu di dalam hidup saya sebagai seorang pelajar kerana saya sedia maklum bahawa duit di dalam akaun abah pastinya lebih daripada jumlah yang biasa saya miliki. Kes kecurian seperti pecah almari selalu menjadi buah mulut pelajar asrama. 

Entah bagaimana di suatu pagi Isnin kad ATM yang biasanya saya selitkan di tempat rahsia di dalam almari saya ambil untuk dibawa bersama ke kelas. Saya risaukan kes pecah almari dan berasa curiga dengan semua orang. Asrama semakin lengang. Siren sudah berbunyi menandakan asrama perlu dikosongkan segera. Kerisauan yang tidak bertepi menyebabkan saya terlambat untuk menghadiri perhimpunan pelajar di dataran. Terkocoh-kocoh saya menuruni anak tangga dan berlari-lari anak menuju dataran. 

Bunyi bising kasut hitam yang sedikit bertumit menerjah ketika berlari di kaki lima bangunan. Saya cuba mengawal frekuensi bunyi berkenaan. Lantas gerak badan semakin kekok berlari. Papp.. bunyi sesuatu terjatuh ke lantai. Sempat saya menoleh dan terlihat kad ATM berbalut dengan resit bayaran peperiksaan SPM di atas nama saya kaku di lantai kaki lima. Seraya itu, saya terpandang seorang makcik pencuci kawasan sekolah sedang menyapu kaki lima di kawasan berhampiran. Pemikiran cetek saya mengandaikan bahawa makcik tersebut akan menjumpai kad saya dan mengembalikannya. 

Hati berdebar-debar menunggu perhimpunan tamat. Saya berlari ke tempat kejadian sebaik tamat perhimpunan. Makcik pencuci masih menyapu di kaki lima dan telah melepasi tempat kejadian. Kad ATM yang terjatuh saya tanyakan pada makcik berkenaan namun jawapan hampa. Otak ligat memikirkan suspek lain sedangkan saya adalah orang terakhir yang keluar dari asrama. 

Setelah abah dan mak pulang daripada mengerjakan haji, pihak bank telah menghubungi abah dek hutang yang sepatutnya ditolak secara automatik daripada akaun berkenaan mempunyai jumlah yang tidak mencukupi. Abah kehairanan. Saya ketakutan. Saya terlalu naif kerana menulis nombor pin kad ATM di belakang resit peperiksaan tersebut. Anehnya abah seorang yang garang tenang sahaja apabila saya menceritakan kisah sebenar. Rupa-rupanya pada hari kejadian abah dan mak terkandas di Pulau Pinang kerana masalah visa haji. Sepatutnya abah dan mak sudah berlepas ke tanah suci jika mengikut jadual. Abah dan mak menafsirkan bahawa mungkin Allah al-hakim mahu membersihkan harta mereka terhadap zakat yang terkurang sebelum mereka tiba di tanah Haram. 

Kes telah dilaporkan kepada pihak berkuasa namun kes ditutup kerana kecuaian. Perasaan berbaur. Saya kecewa kerana tiada tindakan sepatutnya namun turut rasa bersalah kerana cuai dalam menjaga amanah. Duit gaji abah sebanyak RM2560 habis begitu saja. Abah nampak redha dengan kejadian itu. Sehingga hari ini saya masih tertanya kenapa kejadian ini berlaku dalam sejarah hidup saya? Saya pernah berjanji dengan abah untuk membayar balik jumlah tersebut setelah berkerjaya. Rentetan itu, sebaik saja saya mendapat gaji pertama saya menghadiahkan RM400 setiap seorang kepada mak dan abah. Tidak lupa potongan terus ke akaun Tabung Haji mereka setiap bulan tanpa pengetahuan  mereka. Kini mereka sedia maklum mengenai potongan tersebut dan saya tidak pernah bercita-cita untuk menghentikan potongan tersebut walaupun jumlah RM2560 sudah lama langsai. InsyaAllah.

Setiap kejadian ada hikmah tersirat. Walaupun perit untuk dihadapi namun itulah yang takdir terindah untuk saya. Hati lebih tenang apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Thursday, 5 April 2018

Kad ATM

Abah dan mak mendapat seruan haji ketika saya berada di tingkatan 5 di Jenan. Saya bersyukur abah dan mak dapat melaksanakan rukun Islam ke lima itu ketika di usia muda dan masih mempunyai kudrat. Tambahan pula tahun itu adalah tahun bermakna bagi saya kerana bakal menduduki peperiksaan penting dalam hidup iaitu SPM. Semoga doa abah dan mak di bumi suci untuk kejayaan SPM saya dimakbulkan Allah al latif. Saya yang cetek ilmu ini berfikir begitu - doa paling mujarab adalah di bumi Mekah.

Sebelum abah dan mak berlepas ke tanah suci Mekah, abah telah membekalkan saya sekeping kad ATM yang saya sendiri tidak tahu berapa jumlah yang ada di dalam akaun bank tersebut. Namun saya pasti jumlah di bank pasti melebihi apa yang ada di dalam dompet saya. 

Itulah bekalan duit yang ditinggalkan sekiranya saya memerlukan wang untuk persediaan membeli buku dan sara hidup sepanjang abah dan mak mengerjakan haji. Saya fikir saya tidak memerlukan wang yang banyak kerana tinggal di asrama di mana makanan disediakan oleh pihak sekolah. 

Tidak terlintas pula untuk mengambil kesempatan untuk membeli apa sahaja yang diinginkan. Keluar outing sahaja sudah memenatkan bagi saya. Sementara itu, adik-adik diuruskan oleh ayah dan emak saudara di kampung abah. Kakak pula menguruskan diri sendiri di universiti.

Itulah kali pertama saya diamanahkan memegang sekeping kad ATM. Perasaan berbaur. Gembira kerana mempunyai kekuatan kewangan.  Risau jika terlupa nombor pin. Malah bimbang juga jika dicuri oleh sesiapa yang mengetahui kekuatan kewangan saya.

Gambar ihsan Google

Dek kebimbangan itu, saya menulis nombor pin di belakang resit bayaran yuran peperiksaan SPM. Tiga angka di bucu kiri atas resit dan tiga angka seterusnya di bucu kanan bawah resit. Lantas saya balutkan kad ATM dengan resit tersebut. Di bawah lipatan baju-baju di dalam locker, saya sematkan kad ATM dengan harapan agar ia selamat di situ. Begitulah dengan ujian sedikit harta pun membuatkan hati tidak tenang.

Entah mengapa pada suatu pagi saya merasakan kad ATM itu mungkin tidak selamat jika berada di situ. Sudah lah terlambat pagi itu saya berpatah balik ke asrama untuk mengambil kad ATM. Tiada niat di hati untuk mengeluarkan wang tetapi hanya mahu memastikan kad itu selamat berada di sisi saya. 

Sejurus itu saya berlari ke tapak perhimpunan. Tiba-tiba ada bunyi sesuatu terjatuh di belakang saya. Kad ATM yang berbalut resit terjelepok di lantai kaki lima. Seorang makcik cleaner sedang menyapu kaki lima tidak jauh daripada kad itu. Entah apa yang merasuk saya berlari tinggalkan kad tersebut terus ke tapak perhimpunan dengan harapan makcik cleaner tersebut membantu saya menyimpankan kad ATM.

"Ya Allah, cepat lah habis perhimpunan ini" , getus hati.

Usai tamat perhimpunan, saya segera mendapatkan makcik cleaner.

"Assalamualaikum. Makcik, ada tak jumpa kad ATM saya jatuh di sana tadi?", sambil menuding ke arah tempat kejadian.

Makcik cleaner hanya menggeleng tanpa banyak bicara. Kalau mengikut logik, kedudukan makcik cleaner sekarang menandakan bahawa tempat kejadian telah dilepasi. Saya mengesyaki sesuatu yang tidak enak tetapi cuba menafikan kerana tiada bukti.

"Ya Allah, tidak mungkin aku bermimpi"

Peluh dingin mula membasahi. Jantung berdegup kencang.



Wednesday, 4 April 2018

Temuduga Biasiswa

 "Assalamualaikum"

Saya melangkah masuk ke bilik temuduga dengan penuh harapan dan debar yang terkawal. Mulut berkumat-kamit menyerahkan pengharapan penuh kepada Allah SWT. Lantas menyerahkan kad pengenalan dan fail yang sarat dengan sijil-sijil kepada barisan panel. Panel terdiri daripada dua orang pegawai, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Panel wanita yang kelihantan seperti berusia lewat 30an itu mempersilakan saya duduk di kerusi calon temuduga yang berada dalam tiga meter daripada meja panel penemuduga. Saya duduk dan mencari posisi yang selesa. Setelah itu wanita berkenaan mengarahkan saya memperkenalkan diri. Saya terkeliru dengan desas-desus yang mengatakan medium perantaraan temuduga ini ialah Bahasa Inggeris lantas saya memberanikan diri bertanya dengan panel temuduga tersebut. Risau jika markah saya dipotong kerana memperkenalkan diri di dalam bahasa ibunda.

"Madam, I heard that this interview is in English. Am I right?"

"Oh, tidak semestinya"

Lega. Wanita tersebut menjawab dengan penuh santai. Tahap debaran saya sedikit berkurang mendengar jawapan wanita tersebut. Bagaikan terlepas sedikit bebanan batu besar di atas kepala. Saya memperkenalkan diri dan menjawab persoalan beliau. Anehnya tiada satu pun persoalan yang bersifat teknikal mahupun akademik yang ditanya. Beliau mempersoalkan pilihan permohonan bidang pembelajaran saya. Hakikatnya saya telah memilih bidang Teknologi Maklumat di negara Jepun kerana saya takut untuk memilih bidang kejuruteraan. Saya telah dimomokkan dengan kejayaan subjek Fizik menjadi kayu ukur untuk menjadi asas yang kuat kepada bidang kejuruteraan di zaman persekolahan. Fizik saya tafsirkan sebagai salah satu subjek yang membincangkan isu tidak mempunyai fizikal! Sukar dibayangkan kerana saya tidak bijaksana.


"Kenapa pilih bidang IT? Saya tukar kepada Program Teknikal Kejuruteraan di Korea ye"


Saya tergamam kerana saya sedar kelemahan diri.


"Tapi puan, boleh ke saya ni? Fizik.. saya tak dapat A pun"

"Eh okay ni result ni"

Saya kurang pasti dengan jawapan 'okay' tersebut. Selepas mengucapkan terima kasih saya melangkah keluar bilik temuduga. Hati melonjak-lonjak untuk berjumpa cikgu subjek Lukisan Kejuruteraan yang paling diminati - Cikgu Syarifah Azlina. Saya menceritakan kisah temuduga tersebut. Cikgu Azlina berpendapat kemungkinan besar saya berjaya dalam temuduga tersebut berdasarkan kepada ayat saranan wanita penemuduga berkenaan. Namun saya tidak mahu terus memberikan harapan kepada diri sendiri. Saya cuba menafikan dan bersabar sehingga wujudnya bukti di depan mata. 

Diam-diam saya terkenang bisikan doa dalam sujud terakhir pada setiap malam di Masjid Jenan. Impian si anak kampung yang mahu ke luar negara dengan tiket SPM!

Tuesday, 3 April 2018

SPM

28 Februari 2001 adalah tarikh keputusan SPM saya diumumkan. Tarikh yang sama dikongsi dengan kelahiran anak saudara saya setelah penantian selama 11 tahun berakhir. Keputusan SPM saya bukanlah dalam kategori cemerlang. Cemerlang yang dimaksudkan adalah semua subjek mendapat A1.

Harapan saya untuk ke luar negara musnah kerana subjek Bahasa Inggeris saya mendapat B4. Saya fikirkan begitu. Mana mungkin ke negara luar dengan keputusan sedemikian. Keratan akhbar mengenai tawaran biasiswa JPA ke luar negara terperosok di bawah katil. Suatu petang ketika sedang mengemaskan bilik saya mengutip keratan akhbar tersebut dan meneliti semula. Hati berbunga kembali apabila diteliti, keputusan subjek Bahasa Inggeris masih boleh melayakkan saya untuk memohon biasiswa program teknikal JPA ke negara-negara timur di bawah Dasar Pandang ke Timur. Saya bergegas mengisi borang permohonan dan ke Pejabat Pos.

Saban hari saya seperti orang angau yang sentiasa tidak sabar-sabar menanti abang Posmen di pintu pagar. Pasti akan meluru keluar untuk melihat peti surat dan surat-surat yang terperosok di dalamya. Mata akan tercari-cari surat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam. Akhirnya surat yang dinanti tiba. Panggilan temuduga biasiswa JPA adalah harapan baru saya untuk meneroka negara luar mengagumi bumi hamparan ciptaan Allah al khaliq.


Gambar ihsan daripada Google


Hari temuduga tiba yang bertempat di sekolah lama saya - Jenan. Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap dengan mengenakan baju kurung. Abah telah menghantar saya ke Jenan dan saya memberitahu abah bahawa akan pulang sendiri setelah tamat sesi temuduga. Perasaan asing dan gugup tidak begitu mendominasi keadaan kerana suasana sekolah lama saya. Saya menanti dengan debaran sendirian di luar bilik temuduga. Di sebelah saya adalah seorang pelajar Cina bersama ibunya sedang menanti giliran. Si anak kelihatan sangat gusar dan si ibu menenangkannya. Sementara itu si ibu terlebih dahulu menemubual saya.

"Dulu sekolah mana?"

"Inilah sekolah lama saya aunty"


"SPM dapat berapa A?"


Si ibu galak bertanya. Mungkin mahu bandingkan keputusan saya dengan keputusan anaknya.

"Tak banyak A pun aunty. Boleh lah...."


Jika bilangan A menjadi ukuran saya sememangnya bukan kategori bijaksana. Lantas saya berdoa agar giliran saya dipercepatkan kerana aunty tersebut mahu melihat slip keputusan peperiksaan saya pula. Saya cuba membuka fail yang dijinjing perlahan-lahan untuk melengah-lengahkan masa. Tiba-tiba nama saya dipanggil untuk masuk ke bilik temuduga. Rupa-rupanya giliran calon temuduga disusun mengikut abjad. Alhamdulillah nama saya bermula dengan huruf A. Saya bingkas bangun dan meninggalkan aunty tersebut dan anaknya dengan persoalan yang tidak terjawab.



Wednesday, 14 March 2018

STUCK

Dulu saya pernah terlibat dalam bidang industri sejajar dengan kelayakan yang dimiliki. Namun saya tersedar bahawa saya tidak mahukan kehidupan yang keluar pagi pulang pula bila mentari sudah terbenam. Saya mengimpikan dapat melihat anak-anak membesar di depan mata. Lantas saya memilih kerjaya seumpama pendakwah - pengajar.

Bidang saya adalah bidang kemahiran. Menjadi lumrah di negara ini bidang ini dianggap pilihan terakhir. Tidak dinafikan pelajar-pelajar adalah daripada golongan minda kelas ketiga. Bukan penghinaan tetapi itulah label diberikan di dunia ini. Justeru cabaran mental sangat berat ketika amanah perlu sejajar dengan proses pembangunan modal insan. Saya juga turut tertekan. Turut dicampur aduk bersama impian luar biasa pihak pengurusan tertinggi. Ada kala tidak bersesuaian dengan kemampuan tatkala ingin menyasarkan sasaran ke bulan. Bukan sekadar jatuh di kalangan bintang malah jauh terperosok ke dalam lautan.

Saya tidak bersetuju dengan sesetengah keputusan sedangkan suara saya tidak mungkin mendapat perhatian. Saya merasakan bahawa saya perlu mencari sesuatu yang lebih tenang tanpa halangan yang banyak untuk saya berkarya. Namun apakah kaedahnya? Saya menghitung detik kerana saya telah terperangkap!

Namun saya tidak mahu berputus harap dengan Allah al-latif. Saya memohon saban hari mengharapkan terjumpa jalan keluar yang bercahaya. Insya Allah.

Wednesday, 24 January 2018

Wad Onkologi

Saya tidak arif dengan terminologi perubatan walaupun suatu ketika dahulu saya pernah meminati bidang perubatan. Di wad ini mak ditempatkan hampir dua minggu sekali untuk menjalani proses kimoterapi.

Saya kemurungan sejak mendapat khabar bahawa mak menghidap kanser usus pada tahap tiga. Mak terpaksa menjalani proses kimoterapi sebanyak 12 kali kesemuanya dan turut bergantung pada tahap kesihatan mak. Diam-diam saya berdoa penuh hiba agar mak disembuhkan dan dipinjamkan sedikit usia agar ada ruang untuk saya berkhidmat membantu mak mengikut tahap kemampuan saya. Saya terkenang hidup saya bersama mak di bawah satu bumbung hanya lebih kurang 15 tahun saja. Tahun berikutnya sedikit demi sedikit saya mengorak langkah dan melebarkan sayap membina kehidupan meninggalkan mak yang makin dimamah usia. Apabila ditoleh ke belakang, apalah yang disumbangkan kepada mak selama itu berbanding usia saya sekarang yang lebih menjangkaui sempadan 15 tahun itu. Paling tidak saya berazam untuk menjadi anak solehah malah tidak lekang mendoakan kesejahteraan mak. Sementara hayat mak dikandung badan saya merangka pelan khidmat bakti untuk mak.

Minggu lepas saya meluangkan masa ke Hospital Pulau Pinang untuk menyaksikan sendiri rawatan kimoterapi yang terpaksa mak hadapi. Rawatan berkenaan mengambil masa selama tiga hari dua malam. Mak menadah tangan untuk dialirkan sejenis cecair yang dikatakan bersifat panas. Allahuakbar! Urat di tangan mak jelas sekali kesan terbakar selepas beberapa kali menjalankan rawatan tersebut. Hati saya menangis melihat tangan tua mak yang dahulunya mendodoikan saya.
Mak berkenalan dengan kebanyakan pesakit di situ. Lagaknya seperti kawan lama yang baru berjumpa kembali namun masing-masing menanggung derita kanser yang pelbagai rupa dengan pelbagai ragam. Suasana wad sungguh menginsafkan. Sakit kategori yang sama tidak kira jantina, bangsa malah usia. Ketika itu pria muda berusia seawal 23 tahun terbaring menerima rawatan yang sama. Begitulah kuasa Allah yang maha mentadbir alam ini terkandung 1001 hikmah. Alhamdulillah mak masih mampu berjalan seperti biasa dan menunaikan kewajipan solat fardu ketika di sana. Sesekali air mata mak tertumpah jua di saat memanjatkan doa kepada Allah ar-rahman.
Mak hilang selera makan ketika menerima rawatan yang menyebabkan mak keletihan. Aroma hidangan rumah sakit mempunyai penangan yang tersendiri. Begitu juga dengan kawan-kawan mak yang lain. Apa jua yang difikirkan enak pasti akan dibungkuskan buat santapan mak di wad. Biasanya dilebihkan sedikit untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan deretan katil mak. Sekurang-kurangnya hadiah yang tidak seberapa itu berbekas di hati agar lahir perasaan kesyukuran kepada Allah yang satu.

Saya tidak dapat menelah berapa lama lagi mak akan dipinjamkan Allah untuk saya tetapi jauh di dasar hati saya memohon agar saya dapat berkumpul dengan mak dan ahli keluarga yang lain di syurga 'adn yang mengalir sungai di bawahnya. InsyaAllah.

Mak... maafkan dosa-dosa saya terhadap mak, halalkan air susu mak, makan minum yang mak berikan. Terima kasih atas kasih sayang dan doa-doa mak untuk saya. Ya Allah... kasihanilah mak sebagaimana dia mengasihi saya sewaktu saya kecil. Saya sayang mak!