Tuesday, 31 December 2019

ALAM BUNIAN DI BATANG KALI




"Wow.. cantiknya!"

Perkataan pertama terkeluar dari mulut seraya sampai di perkarangan perkampungan bunian ini. Perkampungan bunian? 

Terletak di atas puncak bukit. Deretan rumah-rumah kecil dengan seni binaan ala zaman kerajaan Majapahit. Kabus putih menghiasi ditambah pula dengan lanskap yang menyegarkan mata. Perkampungan kecil yang diumpamakan seperti sebuah perkampungan bunian ini terletak di Batang Kali, Selangor. Hakikatnya deretan rumah kecil ini merupakan rumah inap milik seorang jutawan kosmetik iaitu Bonda Rozita Ibrahim. 

Beliau melakar kejayaan di dalam bidang kosmetik seiring dengan minat beliau sendiri. Lantas beliau cuba merialisasikan impian untuk membina sebuah tempat penginapan di dalam belukar kehijauan untuk mengekalkan ciri-ciri asli flora dan fauna. Bonda Rozita tidak lokek untuk berkongsi hasil seni dambaan beliau dengan orang ramai. Rumah inap ini boleh disewa kepada sesiapa sahaja yang berhajat menikmati alam secara natural. Bayaran bermula serendah RM350.

Aku bermalam di sini bersama dengan seorang kawan kerana menemani dia untuk mencuba keenakkan urutan di sana. Malam kami didendangkan dengan orkestra katak-katak dan penghawa dingin tidak perlu dihidupkan. Subuhnya sejuk meringkok badan. Selimut pula tebal. Memang boleh terbabas solat subuh dibuatnya. Hiasan dalaman setiap rumah inap adalah berbeza. Seninya sangat halus. Semua gambaran ini menyatakan bahawa jika ada duit semua boleh buat!


Lihat saja anyaman siling rumah inap ini. Tema yang sangat klasik tetapi mewah. Namun kecekalan Bonda Rozita untuk memperjuangkan seni Melayu lama harus dikagumi. Semua ukiran seni Melayu lama ini sukar dijumpai di zaman sekarang. Beliau menyatakan bahawa beliau pernah dijemput untuk hadir ke majlis kenduri kahwin di alam bunian. Oleh itu beliau ingin sekali merealisasikan keindahan alam tersebut di tanah milik beliau sendiri. Untungnya menjadi jutawan!



Saturday, 28 December 2019

Dorasan Harapan dan Airmata



Dorasan adalah stesyen keretapi yang terakhir di Korea Selatan terletak berhampiran dengan sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Namun mereka tidak menganggap stesyen ini adalah yang terakhir sebaliknya menjadi stesyen pertama untuk ke Korea Utara. Stesen ini sepi tanpa penumpang malah kelibat keretapi juga tidak kelihatan. Kerajaan Korea Selatan membina stesyen ini sebagai simbol harapan penyatuan bangsa Korea di bahagian utara dan selatan tanahair mereka. Lokasi yang tidak jauh daripada bandaraya Seoul hanya 56 kilometer saja.

Arah ke Pyongyang, Korea Utara

Stesyen ini membawa makna yang mendalam di dalam hati penduduk Korea yang mengharapkan kebahagiaan apabila negara Korea Selatan dan Korea Utara bersatu. Mengikut khabar angin terdapat nama Presiden Korea Utara iaitu Kim Jong Il yang merupakan salah satu peyumbang dana untuk pembinaan stesyen ini. Namun tidak dapat dipastikan individu berkenaan adalah si Presiden atau rakyat Korea yang mempunyai nama yang sama.

Ramai rakyat Malaysia yang berduyun-duyun ingin mengunjungi Korea Selatan dek hangatnya gelombang Korea (Halyu). Namun tidak ramai yang berpeluang mengunjungi tempat bersejarah dan penuh air mata ini. 

Bagaimana hendak ke sana?

Pertama sekali lawatan hendaklah diatur bersama pemandu pelancong daripada syarikat tempatan. Kemudian bayar mengikut harga yang dipersetujui dan akan dibawa ke sana bersama-sama pemandu pelancong. Bayaran mungkin sedikit mahal kerana nilai mata wang negara kita yang kecil. Pasport hendaklah dibawa bersama. Sebelum memasuki Demilitarized Zone (DMZ) setiap pelawat hendaklah mengemukakan pasport untuk disemak oleh pegawai tentera Korea Selatan.

Di sinilah sejarah pemisahan satu bangsa berpecah menjadi dua buah negara berbeza kerana ideologi berbeza dan hasil campur tangan Amerika dan Kesatuan Soviet. Rakyat Korea Selatan menikmati kemajuan manakala rakyat Korea Utara hidup dalam kemiskinan dan jauh daripada perkembangan dunia. Kerajaan Korea Utara membuat pelbagai propaganda untuk melindungi kelemahan negara sendiri seperti mereka membina sebuah perkampungan terancang berhampiran garisan sempadan. Hakikatnya perkampungan tersebut tidak pernah berpenghuni. Rakyat Korea Utara tidak dibenarkan menganuti sebarang jenis agama manakala rakyat Korea Selatan galak dengan pelbagai jenis mazhab agama Kristian mereka.

Kerajaan Korea Utara mencuba pelbagai cara untuk menyerang Seoul. Usaha yang paling bersejarah adalah mereka mencuba mengorek terowong bawah tanah untuk menembusi sempadan. Di dalam terowong tersebut ditanam bahan-bahan letupan yang menghala ke arah Seoul. Sudut terowong tersebut turut direka agar pengaliran air di bawah tanah keluar melalui tanah Korea Utara. Apabila terowong ini dijumpai kerajaan Korea Utara menafikan tindakan ini. Kini terowong tersebut menjadi tarikan pelancong di Imjingak.

Sukan Olimpik musim sejuk di Pyeongchang pada tahun 2018 mencatat sejarah apabila stesyen Dorasan telah digunakan untuk membawa peserta sukan dari Korea Utara. Peristiwa ini melakar bibit-bibit kemesraan di antara dua buah negara yang berpecah tahun 1945. Sesetengah rakyat Korea Selatan masih lagi mempunyai saudara mara yang tinggal di sebalik pagar berkawat duri berperiuk api berkenaan. Mereka tidak dapat bertemu bertahun lamanya sejak perpecahan ini berlaku. Sedih kan?


Sunday, 23 June 2019

Annyong Korea

Dulu arwah tok Hawa pernah berpesan jika mahu menaiki pesawat belajarlah rajin-rajin supaya dapat biasiswa ke luar negara. Pesanan itu memasuki minda separa sedar dan tersemat menjadi impian.

Seluruh ahli keluarga berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama-sama dengan keluarga Pak Lang Din dan Mak Ngah Zawiah. Mereka mahu menghantar saya yang buat pertama kalinya akan menaiki pesawat. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana impian saya menjadi kenyataan. Sebelum berlepas Mak Ngah Zawiah pernah berpesan agar sentiasa menjaga solat. Pak Lang Din pula menceritakan makanan haram yang digemari oleh masyarakat Korea. Provokasi yang dibuat itu betul-betul mencederakan emosi saya.

Perasaan sedih untuk meninggalkan keluarga dalam tempoh yang panjang namun itu menjadi perkara biasa bagi saya yang sudah terlatih tinggal di asrama selama dua tahun. Walaupun dibanjiri dengan babak air mata daripada keluarga kawan-kawan namun saya lebih teruja untuk menaiki pesawat dan melihat negara orang. Perasaan gembira lebih mendominasi di dalam diri. Mak mengatakan itulah lambang ketabahan hati saya. Saya hanya membiarkan pandangan mak berlalu begitu saja kerana impian saya bertahun-tahun lamanya terpendam akhirnya termakbul jua. 

Perjalanan selama enam jam melintasi laut China Selatan tidak terasa kerana waktu berlepas di hening malam. Kami tiba ketika musim luruh. Ketika itu bumi Korea Selatan masih tidak terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Malah rakyat Korea juga begitu hairan dengan imej perempuan Islam Malaysia yang berhijab. Mereka beranggapan kami tidak mempunyai rambut! Mereka juga beranggapan rakyat Malaysia masih hidup di dalam gua seperti di zaman Paleolitik. Paling teruja apabila melihat pokok Maple yang berdaun merah dan pokok Ginkgo yang berdaun kuning keemasan ketika di musim luruh. Subhanallah hebat ciptaanMu.

Kami disambut oleh pelajar-pelajar senior yang bakal menamatkan pelajaran tidak lama lagi. Sejurus selepas itu, kami terpaksa melalui minggu orientasi sebagai persediaan mental dan fizikal untuk menjalani hidup berdikari di bumi asing. Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan majlis orientasi kami agak keterlaluan. Suasana orientasi ala-ala askar yang sangat berbeza di universiti tempatan. Namun aktiviti seperti kakak angkat, adik angkat dan abang angkat masih sama walaupun sudah terbang beribu batu jauh dari tanah air. Saya terselamat daripada aktiviti seumpama itu kerana saya mewarisi riak tegas dek warisan dna daripada Saidina Umar al-Khattab. He he he..

Umrah

Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman memberi inspirasi untuk saya menyimpan niat ke tanah suci Haram. Saya selalu berbisik agar dijemput menjadi tetamu Allah ketika usia masih muda dan berkudrat. 


Syukur ya Allah ya Mujib mengabulkan doa saya untuk menjadi tetamu Allah di bulan Rejab lepas. Jemputan datang melalui mak yang beria-ia mahu membawa kami ke sana. Mak memperlawa saya dan suami untuk ke sana dengan dibiayai wang simpanannya. Kami memang tidak cukup dana untuk ke sana. Duit simpanan tidak mencecah tujuh ribu ringgit. Saya amat teruja. Mak menjanjikan biayaan duit tersebut adalah hadiah sebagai tanda kasih sayangnya.

Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal saya bergegas ke agensi yang menyediakan pakej umrah untuk pendaftaran. Masih berbaki tiga bulan untuk saya membuat persediaan sebelum bergelar sebagai tetamu Allah. Inilah nikmat dalam musibah. Namun  apabila terkenangkan dosa lampau perasaan terbeban. Saya bulatkan hati mahu mencari redha Allah walau apa jua yang datang sebagai cabaran.

Saya dan suami menyiapkan kelengkapan secara sederhana dan mengikut kemampuan saja. Hari berlepas ke Madinah adalah hari yang paling mengujakan. Anak-anak dijaga oleh makcik pengasuh kemudian diikuti oleh ibu mertua dan nenek mertua. Alhamdulillah dipermudahkan urusan.



Mengikut pengamatan saya Madinah adalah sebuah kota yang tenang dan penuh sejarah penting bagi umat Islam. Lebih sayu melihat kubah hijau di Masjid Nabawi. Tidak jauh di sana kelihatan perkuburan Baqi'. Impian tempat pengabdian jasad ini dan dibangunkan kelak bersama junjungan Nabi Muhammad SAW. Turut mengujakan apabila mendapat khabar bahawa jasad Saidina Umar al-Khattab dan Saidini Uthman bin Affan juga disemadikan di sana. Dua tokoh Islam ini menjadi perhatian saya selepas kedudukan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Saya percaya kononnya saya juga memiliki dna ketegasan yang diwarisi daripada Saidina Umar. Pintu 16 yang sering dilalui di Masjid Nabawi dinamakan sempena nama beliau. Saya teruja! Memori indah di Madinah bersama mak, kak Nen dan adik.

Aktiviti ibadah di bumi Mekah menuntut perjuangan kekuatan fizikal dan mental. Emosi tercedera ketika di hari-hari akhir di sana. Sememangnya hati saya hancur luluh dengan kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedang. Fitnah! Saya terlalu kecewa di atas pelbagai faktor kepada si penabur fitnah dan si batu api. Mana mungkin di tanah suci tergamak menyuntik kata-kata racun yang bisa membunuh hati. Saya dan suami difitnah berniat jahat untuk menghabiskan harta. Allah ya Allah.. berat dugaan itu. Mungkin Allah mahukan saya bertekad untuk bergantung semata-mata hanya kepadaNya. Hanya Allah sahaja yang selayaknya berada di kedudukan paling atas di dalam hidup saya dan di dalam hati saya.

Duhai Allah.. 
daku memohon kesembuhan di atas bencana tubuh yang dikurniakan, daku memohon keredhaan usia dariMu dan ampunilah seluruhnya dosa-dosaku ya Allah ya Ghaffar.


Takdir itu milikku

Sebaik saja keputusan biopsi mengesahkan bahawa saya menghidap kanser payudara tahap tiga, emosi menjadi begitu rapuh. Lebih luluh apabila melihat anak-anak yang masih kecil. Ketika di peringkat penafian saya sering bertanya mengapa mesti saya yang dipilih? Sejujurnya saya amat sedih. Terlalu sedih. Tangisan sebak semahu-mahunya dihamburkan melepaskan segala yang terbuku di hati.

Sungguh saya menelusuri kehidupan lampau - keturunan, rentak pemakanan, pengurusan emosi dan gaya hidup. Saya turut menyalahkan tekanan melampau yang diberikan oleh bekas ketua bahagian. Saya sifatkan dia seorang yang keras hati dan kejam. Malah saya menghadapi kemurungan apabila tidak dapat berkhidmat ketika ibu menjalani rawatan kimoterapi terdahulu. Akhirnya saya akur bahawa saya adalah manusia pilihan Allah untuk melalui ujian ini. Saya insan yang amat istimewa. Allah sedang memakbulkan doa saya di sebalik ujian ini. Hati lebih tenang dengan keredhaan. 

Kini rawatan pemulihan telah menempuh kepada fasa ketiga iaitu rawatan khusus. Alahai seperti tidak percaya masa begitu pantas dan saya telah mengharungi rawatan kimoterapi yang menyeksakan. Setelah itu melalui pula rawatan radioterapi yang memedihkan. Keseluruhan rawatan mengambil masa lebih kurang dua tahun. Ya kanser adalah penyakit yang menelan belanja yang tinggi. Industri farmaseutikal mengambil peluang dalam merawat pesakit kanser.

Tiada perasaan gentar dengan kematian namun kehidupan selepas kematian pasti merenggut perasaan seram. Apakah cukup bekalan untuk bertemu dengan Sang Pencipta yang maha Esa? Bagaimana dengan anak-anak kecil yang ditinggalkan? Mampukah mereka terdidik menjadi anak-anak yang solehah? Doa dipanjatkan agar mendapat khusnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan dipermudahkan kematian. Dek propaganda drama-drama di televisyen saya merasakan kematian begitu hampir sekali. Perasan takut sentiasa bermain di dasar hati. Fizikal saya mengalami peruabahan drastik. Sayu melihat imej diri sendiri di dalam cermin. Rambut berguguran begitu hebat sehingga saya terpaksa membotakkan kepala. Alien! Itu yang terdetik. Begitu juga dengan kening. Hilang bagai dipadam dengan pemadam. Lantas saya berdoa agar Allah menggugurkan dosa-dosa saya seperti gugurnya rambut-rambut di seluruh tubuh. Moga Allah sudi mengampunkan saya. 

Saya masih belum terbuka hati untuk berkongsi kisah kanser secara terperinci dengan sesiapa sahaja. Saya amat memilih pendengar kisah saya. Tambahan pula degan sesiapa yang mengenali diri dan kehidupan lampau saya. Mereka sangat skeptikal dan suka menghukum. Hukuman yang entah adil atau tidak itu amat melemahkan semangat juang saya.

"Dapat kanser sebab banyak dosa"
"Kena kanser sebab tak pandai uruskan tekanan emosi"
"Keturunan dia memang ramai yang kena kanser"
"Dia tu tak suka bersukan sebab itulah kena kanser"

Agaknya mereka lupa rukun iman keenam - percaya pada qada dan qadar.

Sungguh mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut manusia bergantung kepada hatinya. Daripada Allah saya datang kepada Allah jualah saya akan kembali.

Wahai Allah ya rahim  ampunkan saya!

Sunday, 27 January 2019

INTEC Shah Alam

Program matrikulasi di sebuah pusat pengajian swasta adalah tidak menyeronokkan bagi saya kerana kemudahan tidak selesa. Saya amat mengharapkan agar mendapat peluang untuk keluar daripada pusat pengajian tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang! Alhamdulillah saya mendapat program persediaan ke Korea Selatan di INTEC Shah Alam di bawah seliaan Universiti Teknologi Malaysia (UITM). Doa saya di dalam sujud di Masjid Jenan Allah telah makbulkan. Malah program persediaan saya adalah yang terpantas iaitu selama tiga bulan sahaja tanpa perlu melalui peperiksaan yang menyukarkan sedangkan keputusan SPM saya bukanlah semua subjek mendapat A.

Maka nikmat yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?

Di sinilah bermula hidup zaman remaja mengenali baju kuliah bebas pakaian seragam, bas mini, telefon bimbit, duit poket melebihi RM100, kedai mamak dan kasut 'loafer'. Tidak kurang juga aktiviti berpacaran yang bagaikan perkara biasa. 

Negara Korea adalah amat asing bagi saya pada waktu itu. Negara Jepun lebih selalu didengari perihalnya. Langsung tiada idea mengenai negara Korea melainkan tragedi peperangan yang melibatkan satu bangsa itu. Jika negara Jepun terkenal dengan bencana gempa bumi, adakah negara Korea juga terletak di kawasan gempa bumi mahupun lingkaran gunung berapi? Itulah soalan pertama yang menerjah minda sedangkan mati itu pasti tanpa bersyarat walaupun berada di mana saja. 

Di INTEC kami dikenalkan dengan cikgu Kyu Won dan isterinya cikgu Tiara. Itulah orang Korea pertama yang hadir di dalam hidup saya. Mereka kacak dan cantik setaraf artis di Malaysia. Keinginan untuk mempelajari bahasa asing kini dimakbulkan Allah. Selama tiga bulan kami bertatih mengenali huruf, menyebut, menulis dan membaca tulisan Korea. Seterusnya terbang ke bumi kimchi untuk meneruskan perjuangan dan mempraktikkan bahasa Korea secara langsung di sana. Satu jangkasamasa yang singkat untuk merasai kehidupan sebagai mahasiswi di tanah air sendiri.

Kumpulan pelajar seramai 45 orang yang terdiri daripada lapan gadis muslim menjadi peneman susah senang bersama selama hampir enam tahun di Korea. Ada di antara kami sudah memilih teman berlainan jantina dan lebih selesa bersama ke mana saja. Tidak kurang juga yang putus dipertengahan jalan dan ada juga yang kekal ke jinjang pelamin. Saya tidak mahu membuang masa berpacaran dengan yang tidak pasti sekadar hanya mengisi masa lapang walaupun jiwa remaja yang bergelodak tidak dapat menahan saya untuk meminati seorang jejaka. Namun perasaan itu amat menyakitkan. Lebih seronok rasanya jika dapat menjadi kawan tanpa perasaan yang aneh. Mak kerap mengingatkan bahawa saya bukanlah kategori rupawan dan saya akui kebenaran itu. Oleh itu meluahkan yang tersirat di lubuk hati adalah perkara yang amat menakutkan bagi saya.