Dulu saya mahu menaiki kapal terbang. Saya dilahirkan di dalam
sebuah keluarga yang berpendapatan sederhana. Impian saya kelihatan mustahil
untuk dicapai. Arwah tok Hawa pernah berpesan jika ingin menaiki kapal terbang
perlu belajar pandai supaya ada peluang menaiki kapal terbang seperti paksu.
Paksu adalah anak bongsu tok Hawa. Paksu berjaya mendapat
biasiswa. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.
Paklang pun begitu juga. Dia masih menuntut di Amerika Syarikat ketika paksu
baru berlepas ke sana. Ketika di lapangan terbang saya melihat kapal terbang
yang saiznya sangat besar tiba-tiba makin mengecil saiznya apabila berada di
udara. Sayup hilang di pandangan mata. Sungguh... peristiwa yang amat
mengagumkan. Dalam diam saya menyimpan hasrat untuk menjejaki jejak paksu
dan paklang.
Saya sedar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia adalah tiket penting
untuk saya mencapai impian. Takdir telah menentukan segalanya. Keputusan SPM
saya bukanlah setanding dengan pelajar-pelajar cemerlang lain. Sayang sekali
subjek Bahasa Inggeris bukanlah cemerlang keputusannya. Bagaimana mahu ke luar
negara? Malahan mak juga kecewa dengan keputusan saya. Mak mengkhabarkan saya
telah mendapat keputusan 6A kepada rakan kerjanya. Hakikatnya saya hanya
mendapat 4A dan 6B. Mungkin mak malu dengan keputusan saya. Seorang anak
pendidik tidak mendapat keputusan yang membanggakan.
Suatu hari ketika mengemas di dalam bilik saya terjumpa keratan
akhbar mengenai tawaran biasiswa untuk ke luar negara. Keratan itu diteliti
kembali syaratnya dengan harapan masih ada sinar untuk saya. Terima kasih Allah
Al-Wahhab - Yang Maha Pemberi memberi saya peluang kedua kerana masih memenuhi
syarat untuk program teknikal. Tanpa berlengah saya menyediakan dokumen
keperluan dan mengepos permohonan. Harapan sangat tinggi mudah-mudahan
dipanggil untuk temuduga.
Syukur saya dipanggil untuk ditemuduga. Calon yang menunggu di sebelah
saya mendapat semua A untuk semua subjek. Jantung bergetar hati berdebar. Tatkala
ditemuduga penemuduga mencadangkan agar saya ditukarkan kepada bidang
kejuruteraan.
“Tapi puan subjek Fizik saya tak dapat A.”
“Eh bagus result awak ni. Saya cadangkan awak ambil program
teknikal kejuruteraan di Korea Selatan ye.”
Saya terkedu. Keputusan bagus? Bingung… betul ke bagus atau
sekadar ayat penyedap hati?
Suatu hari saya mendapat perkhabaran telegram untuk mendaftar di
pusat persediaan ke luar negara dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah permohonan
saya berjaya. Saya akan berlepas ke Korea Selatan setelah tamat program
persediaan selama tiga bulan. Malahan tiada saringan kedua seperti peperiksaan A
level atau sebagainya. Ini bermakna saya pasti akan boleh menaiki kapal
terbang.
Berguguranlah titisan air mata tanda syukur pada Tuhan As-Samii –
Yang Maha Mendengar. Saya terkenangkan saat saban malam rebah sujud ke bumi
membisikkan impian mahu menaiki kapal terbang untuk ke luar negara. Tiada apa
lagi yang lebih membahagiakan apabila doa dimakbulkan Allah. Impian bertukar
menjadi kenyataan. Program yang ditawarkan adalah program terpantas berlepas ke
luar negara. Sungguh inilah takdir terbaik untuk saya.