Sunday, 23 June 2019

Annyong Korea

Dulu arwah tok Hawa pernah berpesan jika mahu menaiki pesawat belajarlah rajin-rajin supaya dapat biasiswa ke luar negara. Pesanan itu memasuki minda separa sedar dan tersemat menjadi impian.

Seluruh ahli keluarga berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama-sama dengan keluarga Pak Lang Din dan Mak Ngah Zawiah. Mereka mahu menghantar saya yang buat pertama kalinya akan menaiki pesawat. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana impian saya menjadi kenyataan. Sebelum berlepas Mak Ngah Zawiah pernah berpesan agar sentiasa menjaga solat. Pak Lang Din pula menceritakan makanan haram yang digemari oleh masyarakat Korea. Provokasi yang dibuat itu betul-betul mencederakan emosi saya.

Perasaan sedih untuk meninggalkan keluarga dalam tempoh yang panjang namun itu menjadi perkara biasa bagi saya yang sudah terlatih tinggal di asrama selama dua tahun. Walaupun dibanjiri dengan babak air mata daripada keluarga kawan-kawan namun saya lebih teruja untuk menaiki pesawat dan melihat negara orang. Perasaan gembira lebih mendominasi di dalam diri. Mak mengatakan itulah lambang ketabahan hati saya. Saya hanya membiarkan pandangan mak berlalu begitu saja kerana impian saya bertahun-tahun lamanya terpendam akhirnya termakbul jua. 

Perjalanan selama enam jam melintasi laut China Selatan tidak terasa kerana waktu berlepas di hening malam. Kami tiba ketika musim luruh. Ketika itu bumi Korea Selatan masih tidak terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Malah rakyat Korea juga begitu hairan dengan imej perempuan Islam Malaysia yang berhijab. Mereka beranggapan kami tidak mempunyai rambut! Mereka juga beranggapan rakyat Malaysia masih hidup di dalam gua seperti di zaman Paleolitik. Paling teruja apabila melihat pokok Maple yang berdaun merah dan pokok Ginkgo yang berdaun kuning keemasan ketika di musim luruh. Subhanallah hebat ciptaanMu.

Kami disambut oleh pelajar-pelajar senior yang bakal menamatkan pelajaran tidak lama lagi. Sejurus selepas itu, kami terpaksa melalui minggu orientasi sebagai persediaan mental dan fizikal untuk menjalani hidup berdikari di bumi asing. Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan majlis orientasi kami agak keterlaluan. Suasana orientasi ala-ala askar yang sangat berbeza di universiti tempatan. Namun aktiviti seperti kakak angkat, adik angkat dan abang angkat masih sama walaupun sudah terbang beribu batu jauh dari tanah air. Saya terselamat daripada aktiviti seumpama itu kerana saya mewarisi riak tegas dek warisan dna daripada Saidina Umar al-Khattab. He he he..

Umrah

Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman memberi inspirasi untuk saya menyimpan niat ke tanah suci Haram. Saya selalu berbisik agar dijemput menjadi tetamu Allah ketika usia masih muda dan berkudrat. 


Syukur ya Allah ya Mujib mengabulkan doa saya untuk menjadi tetamu Allah di bulan Rejab lepas. Jemputan datang melalui mak yang beria-ia mahu membawa kami ke sana. Mak memperlawa saya dan suami untuk ke sana dengan dibiayai wang simpanannya. Kami memang tidak cukup dana untuk ke sana. Duit simpanan tidak mencecah tujuh ribu ringgit. Saya amat teruja. Mak menjanjikan biayaan duit tersebut adalah hadiah sebagai tanda kasih sayangnya.

Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal saya bergegas ke agensi yang menyediakan pakej umrah untuk pendaftaran. Masih berbaki tiga bulan untuk saya membuat persediaan sebelum bergelar sebagai tetamu Allah. Inilah nikmat dalam musibah. Namun  apabila terkenangkan dosa lampau perasaan terbeban. Saya bulatkan hati mahu mencari redha Allah walau apa jua yang datang sebagai cabaran.

Saya dan suami menyiapkan kelengkapan secara sederhana dan mengikut kemampuan saja. Hari berlepas ke Madinah adalah hari yang paling mengujakan. Anak-anak dijaga oleh makcik pengasuh kemudian diikuti oleh ibu mertua dan nenek mertua. Alhamdulillah dipermudahkan urusan.



Mengikut pengamatan saya Madinah adalah sebuah kota yang tenang dan penuh sejarah penting bagi umat Islam. Lebih sayu melihat kubah hijau di Masjid Nabawi. Tidak jauh di sana kelihatan perkuburan Baqi'. Impian tempat pengabdian jasad ini dan dibangunkan kelak bersama junjungan Nabi Muhammad SAW. Turut mengujakan apabila mendapat khabar bahawa jasad Saidina Umar al-Khattab dan Saidini Uthman bin Affan juga disemadikan di sana. Dua tokoh Islam ini menjadi perhatian saya selepas kedudukan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Saya percaya kononnya saya juga memiliki dna ketegasan yang diwarisi daripada Saidina Umar. Pintu 16 yang sering dilalui di Masjid Nabawi dinamakan sempena nama beliau. Saya teruja! Memori indah di Madinah bersama mak, kak Nen dan adik.

Aktiviti ibadah di bumi Mekah menuntut perjuangan kekuatan fizikal dan mental. Emosi tercedera ketika di hari-hari akhir di sana. Sememangnya hati saya hancur luluh dengan kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedang. Fitnah! Saya terlalu kecewa di atas pelbagai faktor kepada si penabur fitnah dan si batu api. Mana mungkin di tanah suci tergamak menyuntik kata-kata racun yang bisa membunuh hati. Saya dan suami difitnah berniat jahat untuk menghabiskan harta. Allah ya Allah.. berat dugaan itu. Mungkin Allah mahukan saya bertekad untuk bergantung semata-mata hanya kepadaNya. Hanya Allah sahaja yang selayaknya berada di kedudukan paling atas di dalam hidup saya dan di dalam hati saya.

Duhai Allah.. 
daku memohon kesembuhan di atas bencana tubuh yang dikurniakan, daku memohon keredhaan usia dariMu dan ampunilah seluruhnya dosa-dosaku ya Allah ya Ghaffar.


Takdir itu milikku

Sebaik saja keputusan biopsi mengesahkan bahawa saya menghidap kanser payudara tahap tiga, emosi menjadi begitu rapuh. Lebih luluh apabila melihat anak-anak yang masih kecil. Ketika di peringkat penafian saya sering bertanya mengapa mesti saya yang dipilih? Sejujurnya saya amat sedih. Terlalu sedih. Tangisan sebak semahu-mahunya dihamburkan melepaskan segala yang terbuku di hati.

Sungguh saya menelusuri kehidupan lampau - keturunan, rentak pemakanan, pengurusan emosi dan gaya hidup. Saya turut menyalahkan tekanan melampau yang diberikan oleh bekas ketua bahagian. Saya sifatkan dia seorang yang keras hati dan kejam. Malah saya menghadapi kemurungan apabila tidak dapat berkhidmat ketika ibu menjalani rawatan kimoterapi terdahulu. Akhirnya saya akur bahawa saya adalah manusia pilihan Allah untuk melalui ujian ini. Saya insan yang amat istimewa. Allah sedang memakbulkan doa saya di sebalik ujian ini. Hati lebih tenang dengan keredhaan. 

Kini rawatan pemulihan telah menempuh kepada fasa ketiga iaitu rawatan khusus. Alahai seperti tidak percaya masa begitu pantas dan saya telah mengharungi rawatan kimoterapi yang menyeksakan. Setelah itu melalui pula rawatan radioterapi yang memedihkan. Keseluruhan rawatan mengambil masa lebih kurang dua tahun. Ya kanser adalah penyakit yang menelan belanja yang tinggi. Industri farmaseutikal mengambil peluang dalam merawat pesakit kanser.

Tiada perasaan gentar dengan kematian namun kehidupan selepas kematian pasti merenggut perasaan seram. Apakah cukup bekalan untuk bertemu dengan Sang Pencipta yang maha Esa? Bagaimana dengan anak-anak kecil yang ditinggalkan? Mampukah mereka terdidik menjadi anak-anak yang solehah? Doa dipanjatkan agar mendapat khusnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan dipermudahkan kematian. Dek propaganda drama-drama di televisyen saya merasakan kematian begitu hampir sekali. Perasan takut sentiasa bermain di dasar hati. Fizikal saya mengalami peruabahan drastik. Sayu melihat imej diri sendiri di dalam cermin. Rambut berguguran begitu hebat sehingga saya terpaksa membotakkan kepala. Alien! Itu yang terdetik. Begitu juga dengan kening. Hilang bagai dipadam dengan pemadam. Lantas saya berdoa agar Allah menggugurkan dosa-dosa saya seperti gugurnya rambut-rambut di seluruh tubuh. Moga Allah sudi mengampunkan saya. 

Saya masih belum terbuka hati untuk berkongsi kisah kanser secara terperinci dengan sesiapa sahaja. Saya amat memilih pendengar kisah saya. Tambahan pula degan sesiapa yang mengenali diri dan kehidupan lampau saya. Mereka sangat skeptikal dan suka menghukum. Hukuman yang entah adil atau tidak itu amat melemahkan semangat juang saya.

"Dapat kanser sebab banyak dosa"
"Kena kanser sebab tak pandai uruskan tekanan emosi"
"Keturunan dia memang ramai yang kena kanser"
"Dia tu tak suka bersukan sebab itulah kena kanser"

Agaknya mereka lupa rukun iman keenam - percaya pada qada dan qadar.

Sungguh mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut manusia bergantung kepada hatinya. Daripada Allah saya datang kepada Allah jualah saya akan kembali.

Wahai Allah ya rahim  ampunkan saya!