Saya tidak arif dengan terminologi perubatan walaupun suatu ketika dahulu saya pernah meminati bidang perubatan. Di wad ini mak ditempatkan hampir dua minggu sekali untuk menjalani proses kimoterapi.
Saya kemurungan sejak mendapat khabar bahawa mak menghidap kanser usus pada tahap tiga. Mak terpaksa menjalani proses kimoterapi sebanyak 12 kali kesemuanya dan turut bergantung pada tahap kesihatan mak. Diam-diam saya berdoa penuh hiba agar mak disembuhkan dan dipinjamkan sedikit usia agar ada ruang untuk saya berkhidmat membantu mak mengikut tahap kemampuan saya. Saya terkenang hidup saya bersama mak di bawah satu bumbung hanya lebih kurang 15 tahun saja. Tahun berikutnya sedikit demi sedikit saya mengorak langkah dan melebarkan sayap membina kehidupan meninggalkan mak yang makin dimamah usia. Apabila ditoleh ke belakang, apalah yang disumbangkan kepada mak selama itu berbanding usia saya sekarang yang lebih menjangkaui sempadan 15 tahun itu. Paling tidak saya berazam untuk menjadi anak solehah malah tidak lekang mendoakan kesejahteraan mak. Sementara hayat mak dikandung badan saya merangka pelan khidmat bakti untuk mak.
Minggu lepas saya meluangkan masa ke Hospital Pulau Pinang untuk menyaksikan sendiri rawatan kimoterapi yang terpaksa mak hadapi. Rawatan berkenaan mengambil masa selama tiga hari dua malam. Mak menadah tangan untuk dialirkan sejenis cecair yang dikatakan bersifat panas. Allahuakbar! Urat di tangan mak jelas sekali kesan terbakar selepas beberapa kali menjalankan rawatan tersebut. Hati saya menangis melihat tangan tua mak yang dahulunya mendodoikan saya.
Mak berkenalan dengan kebanyakan pesakit di situ. Lagaknya seperti kawan lama yang baru berjumpa kembali namun masing-masing menanggung derita kanser yang pelbagai rupa dengan pelbagai ragam. Suasana wad sungguh menginsafkan. Sakit kategori yang sama tidak kira jantina, bangsa malah usia. Ketika itu pria muda berusia seawal 23 tahun terbaring menerima rawatan yang sama. Begitulah kuasa Allah yang maha mentadbir alam ini terkandung 1001 hikmah. Alhamdulillah mak masih mampu berjalan seperti biasa dan menunaikan kewajipan solat fardu ketika di sana. Sesekali air mata mak tertumpah jua di saat memanjatkan doa kepada Allah ar-rahman.
Mak hilang selera makan ketika menerima rawatan yang menyebabkan mak keletihan. Aroma hidangan rumah sakit mempunyai penangan yang tersendiri. Begitu juga dengan kawan-kawan mak yang lain. Apa jua yang difikirkan enak pasti akan dibungkuskan buat santapan mak di wad. Biasanya dilebihkan sedikit untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan deretan katil mak. Sekurang-kurangnya hadiah yang tidak seberapa itu berbekas di hati agar lahir perasaan kesyukuran kepada Allah yang satu.
Saya tidak dapat menelah berapa lama lagi mak akan dipinjamkan Allah untuk saya tetapi jauh di dasar hati saya memohon agar saya dapat berkumpul dengan mak dan ahli keluarga yang lain di syurga 'adn yang mengalir sungai di bawahnya. InsyaAllah.
Mak... maafkan dosa-dosa saya terhadap mak, halalkan air susu mak, makan minum yang mak berikan. Terima kasih atas kasih sayang dan doa-doa mak untuk saya. Ya Allah... kasihanilah mak sebagaimana dia mengasihi saya sewaktu saya kecil. Saya sayang mak!