Wednesday, 18 October 2017

Bahasa asing

Pernah menjadi impian saya untuk mempunyai kemahiran untuk berbahasa selain bahasa ibunda dan bahasa Inggeris. Di Jenan walaupun terdapat kelas bahasa asing namun kelas berkenaan hanyalah untuk pelajar-palajar yang mempunyai asas sejak dari Tingkatan 1 lagi. Saya memasuki Jenan dengan tiket PMR maka ketika kelas bahasa asing kami menjadi makhluk asing apabila diasingkan ke kelas yang tidak digunakan dan membuat hal sendiri. Begitulah dunia.. sentiasa tidak adil, getus hati sendiri.

Impian adalah doa!

Saya terjumpa ayat ini daripada buku Puan Roza yang amat saya minati. Ingatan terimbau kepada impian saya di Jenan dulu. Ya Allah.. impian termakbul! Kini saya sudah dapat berbahasa Korea ketika mana Korea sangat tidak popular di Malaysia. Malah saya pernah bekerja bersama-sama dengan warga Korea di tanah air sendiri. Banyak kelebihan ketika bekerja dek kemampuan saya berbahasa Korea. Itulah nikmat yang ditumpahkan oleh yang Maha Esa kepada laluan hidup saya. 

Saya mendapati bahawa drama Korea banyak memberi impak kepada kefasihan berbahasa Korea ketika bermukim di sana. Setelah ledakan Korean wave (Halyu) melanda negara kita, rata-rata yang saya temui sangat teruja apabila mengetahui saya dapat berbahasa Korea. Bahasa Korea bersifat serampang dua mata. Apabila mempelajarinya secara tidak langsung kita akan mempelajari tulisan karakter bahasa Cina. Itulah susur galur bahasa Korea bermula. Namun begitu bahasa Korea masih boleh dibaca walaupun maksudnya tidak dapat difahami. Berlainan sekali dengan tulisan karakter Cina, jika simbolnya tidak dikenali maka tiada bunyi perkataan pun dapat dikeluarkan. Begitulah ciptaan manusia, tiada yang sempurna. 


Kini sangat jarang saya menggunakan bahasa Korea. Hal ini kerana saya telah bertukar pekerjaan dan berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Sesekali apabila merindui bahasa Korea saya akan menonton filem Korea di saluran TVN Movies. Terimbau impian silam.  Alhamdulilah. Saya merasakan mahu berkongsi ilmu ini dengan sesiapa saja yang berminat mempelajarinya. Siapa mahu?