Sunday, 10 May 2020

Hari Ibu

Setiap tahun ada sambutan hari ibu. Aku juga kini bergelar seorang ibu. Dalam benak fikiranku aku mengimbau, mencari-cari kenangan manis bersama mak. 

Tak dapat dinafikan dunia akhirat dia adalah mak aku yang satu yang membesarkan, menyusukan, mendidik aku. Namun akhir ini seolah-olah kasih itu sudah hilang yang tinggal hanya hakikat. Selama ini aku menafikan segala perbuatan, makian dan kata-kata mak. Aku percaya semua itu dasar sayang sehinggalah satu peristiwa yang menghancurkan hati di tanah suci Mekah. Mak terlepas kata bahawa suamiku adalah pengikis harta sedangkan mak sendiri yang menawarkan perbelanjaan pakej umrah. Lukanya sangat dalam. Ya yang dikutuk adalah suami aku namun kenapa mesti aku yang perlu menadah telinga? Di hadapan suami bicaranya elok-elok saja.

Kenangan silam terus aku telusuri dan baru ku sedari sebenarnya aku adalah kambing hitam. Biarlah saja aku undur diri daripada terus menyiksa perasaan benci yang membara mereka. Sekurang-kurangnya baik juga untuk kesihatan mental dan fizikal aku. 

Bukan tidak pernah aku memohon maaf dan ingin menjernihkan keadaan tetapi akhirnya aku mendapat balasan jawapan yang sungguh sinis. Petanda hati mak masih tidak berubah. Biarlah aku berdiam saja itu lebih baik daripada menyeksa hati aku dan mereka.

Aku sering menghitung dosaku pada mak. Ku kira diam lebih baik. Kifarah Allah terasa gerun untuk aku lalui namun aku tetap yakin Allah itu maha adil. Apakah semuanya salah aku semata? Aku tidak mampu memilih ibubapa namun mengapa mak pilih kasih?

Kemurungan yang aku lalui lebih 30 tahun akhirnya membuahkan kanser. Aku telah menzalimi kehidupanku. Cukuplah setakat ini. Aku perlu bina keluarga yang harmoni jauh daripada menyebarkan kebencian dan membezakan anak-anak. 

Aku mesti belajar dan mengajar anak-anakku mencintai Allah lebih daripada segalanya. Aku ingin lari jauh daripada norma kehidupan aku ketika bersama mak. Tidak mahu rasanya anak-anak aku merasa apa yang pernah aku lalui selama ini. Aku mahu dikenang sebagai seorang ibu yang dirindui dan sentiasa didoakan dengan ikhlas oleh anak-anakku. 

Sakit sungguh melihat ucapan indah hari ibu oleh anak-anak kepada ibu mereka. Tapi aku tiada perasaan. Hambar. Lebih mudah untuk aku mendoakan dalam keadaan mak tidak perlu tahu pun. Aku tidak gembira dengan ucapan hari ibu kerana setiap hari sepatutnya adalah hari ibubapa. Doakan mereka walau pun seburuk mana mereka. Mudahan Allah menerima amalanku. Ampuni hambaMu ya Rabb. 

Tuesday, 7 January 2020

Dari Kangar ke Korea

Dulu saya mahu menaiki kapal terbang. Saya dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berpendapatan sederhana. Impian saya kelihatan mustahil untuk dicapai. Arwah tok Hawa pernah berpesan jika ingin menaiki kapal terbang perlu belajar pandai supaya ada peluang menaiki kapal terbang seperti paksu.

Paksu adalah anak bongsu tok Hawa. Paksu berjaya mendapat biasiswa. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Paklang pun begitu juga. Dia masih menuntut di Amerika Syarikat ketika paksu baru berlepas ke sana. Ketika di lapangan terbang saya melihat kapal terbang yang saiznya sangat besar tiba-tiba makin mengecil saiznya apabila berada di udara. Sayup hilang di pandangan mata. Sungguh... peristiwa yang amat mengagumkan. Dalam diam saya menyimpan hasrat untuk menjejaki jejak paksu dan paklang.

Saya sedar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia adalah tiket penting untuk saya mencapai impian. Takdir telah menentukan segalanya. Keputusan SPM saya bukanlah setanding dengan pelajar-pelajar cemerlang lain. Sayang sekali subjek Bahasa Inggeris bukanlah cemerlang keputusannya. Bagaimana mahu ke luar negara? Malahan mak juga kecewa dengan keputusan saya. Mak mengkhabarkan saya telah mendapat keputusan 6A kepada rakan kerjanya. Hakikatnya saya hanya mendapat 4A dan 6B. Mungkin mak malu dengan keputusan saya. Seorang anak pendidik tidak mendapat keputusan yang membanggakan.

Suatu hari ketika mengemas di dalam bilik saya terjumpa keratan akhbar mengenai tawaran biasiswa untuk ke luar negara. Keratan itu diteliti kembali syaratnya dengan harapan masih ada sinar untuk saya. Terima kasih Allah Al-Wahhab - Yang Maha Pemberi memberi saya peluang kedua kerana masih memenuhi syarat untuk program teknikal. Tanpa berlengah saya menyediakan dokumen keperluan dan mengepos permohonan. Harapan sangat tinggi mudah-mudahan dipanggil untuk temuduga.

Syukur saya dipanggil untuk ditemuduga. Calon yang menunggu di sebelah saya mendapat semua A untuk semua subjek. Jantung bergetar hati berdebar. Tatkala ditemuduga penemuduga mencadangkan agar saya ditukarkan kepada bidang kejuruteraan.

“Tapi puan subjek Fizik saya tak dapat A.”

“Eh bagus result awak ni. Saya cadangkan awak ambil program teknikal kejuruteraan di Korea Selatan ye.”

Saya terkedu. Keputusan bagus? Bingung… betul ke bagus atau sekadar ayat penyedap hati?

Suatu hari saya mendapat perkhabaran telegram untuk mendaftar di pusat persediaan ke luar negara dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah permohonan saya berjaya. Saya akan berlepas ke Korea Selatan setelah tamat program persediaan selama tiga bulan. Malahan tiada saringan kedua seperti peperiksaan A level atau sebagainya. Ini bermakna saya pasti akan boleh menaiki kapal terbang.


Berguguranlah titisan air mata tanda syukur pada Tuhan As-Samii – Yang Maha Mendengar. Saya terkenangkan saat saban malam rebah sujud ke bumi membisikkan impian mahu menaiki kapal terbang untuk ke luar negara. Tiada apa lagi yang lebih membahagiakan apabila doa dimakbulkan Allah. Impian bertukar menjadi kenyataan. Program yang ditawarkan adalah program terpantas berlepas ke luar negara. Sungguh inilah takdir terbaik untuk saya.