Sunday, 23 June 2019

Takdir itu milikku

Sebaik saja keputusan biopsi mengesahkan bahawa saya menghidap kanser payudara tahap tiga, emosi menjadi begitu rapuh. Lebih luluh apabila melihat anak-anak yang masih kecil. Ketika di peringkat penafian saya sering bertanya mengapa mesti saya yang dipilih? Sejujurnya saya amat sedih. Terlalu sedih. Tangisan sebak semahu-mahunya dihamburkan melepaskan segala yang terbuku di hati.

Sungguh saya menelusuri kehidupan lampau - keturunan, rentak pemakanan, pengurusan emosi dan gaya hidup. Saya turut menyalahkan tekanan melampau yang diberikan oleh bekas ketua bahagian. Saya sifatkan dia seorang yang keras hati dan kejam. Malah saya menghadapi kemurungan apabila tidak dapat berkhidmat ketika ibu menjalani rawatan kimoterapi terdahulu. Akhirnya saya akur bahawa saya adalah manusia pilihan Allah untuk melalui ujian ini. Saya insan yang amat istimewa. Allah sedang memakbulkan doa saya di sebalik ujian ini. Hati lebih tenang dengan keredhaan. 

Kini rawatan pemulihan telah menempuh kepada fasa ketiga iaitu rawatan khusus. Alahai seperti tidak percaya masa begitu pantas dan saya telah mengharungi rawatan kimoterapi yang menyeksakan. Setelah itu melalui pula rawatan radioterapi yang memedihkan. Keseluruhan rawatan mengambil masa lebih kurang dua tahun. Ya kanser adalah penyakit yang menelan belanja yang tinggi. Industri farmaseutikal mengambil peluang dalam merawat pesakit kanser.

Tiada perasaan gentar dengan kematian namun kehidupan selepas kematian pasti merenggut perasaan seram. Apakah cukup bekalan untuk bertemu dengan Sang Pencipta yang maha Esa? Bagaimana dengan anak-anak kecil yang ditinggalkan? Mampukah mereka terdidik menjadi anak-anak yang solehah? Doa dipanjatkan agar mendapat khusnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan dipermudahkan kematian. Dek propaganda drama-drama di televisyen saya merasakan kematian begitu hampir sekali. Perasan takut sentiasa bermain di dasar hati. Fizikal saya mengalami peruabahan drastik. Sayu melihat imej diri sendiri di dalam cermin. Rambut berguguran begitu hebat sehingga saya terpaksa membotakkan kepala. Alien! Itu yang terdetik. Begitu juga dengan kening. Hilang bagai dipadam dengan pemadam. Lantas saya berdoa agar Allah menggugurkan dosa-dosa saya seperti gugurnya rambut-rambut di seluruh tubuh. Moga Allah sudi mengampunkan saya. 

Saya masih belum terbuka hati untuk berkongsi kisah kanser secara terperinci dengan sesiapa sahaja. Saya amat memilih pendengar kisah saya. Tambahan pula degan sesiapa yang mengenali diri dan kehidupan lampau saya. Mereka sangat skeptikal dan suka menghukum. Hukuman yang entah adil atau tidak itu amat melemahkan semangat juang saya.

"Dapat kanser sebab banyak dosa"
"Kena kanser sebab tak pandai uruskan tekanan emosi"
"Keturunan dia memang ramai yang kena kanser"
"Dia tu tak suka bersukan sebab itulah kena kanser"

Agaknya mereka lupa rukun iman keenam - percaya pada qada dan qadar.

Sungguh mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut manusia bergantung kepada hatinya. Daripada Allah saya datang kepada Allah jualah saya akan kembali.

Wahai Allah ya rahim  ampunkan saya!

No comments:

Post a Comment