Friday, 6 April 2018

RM 2560

Menelusuri kisah tragis di Jenan pada tahun 2000 sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dan kisah haji abah dan mak.

Sumber: pakcik Google

Pastinya saya tidak melepaskan peluang untuk mengirimkan doa kepada mak dan abah untuk mendoakan kejayaan SPM saya di hadapan Kaabah. Ketika itu saya kurang ilmu mengenai konsep berdoa yang boleh dilakukan di mana-mana saja malah waktu terbaik adalah di sepertiga malam. 

Allah turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata: 'Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepadaKu akan aku ampuni hingga terbit fajar. 
(HR Bukhari 1145, Muslim 758)

Sepeninggalan abah dan mak ke tanah suci Mekah abah telah meninggalkan sekeping kad ATM sekiranya saya memerlukan wang untuk keperluan ketika bersekolah asrama. Duit poket yang biasa saya perolehi tak lebih daripada RM100. Saya amat risau dengan kehadiran kad ATM itu di dalam hidup saya sebagai seorang pelajar kerana saya sedia maklum bahawa duit di dalam akaun abah pastinya lebih daripada jumlah yang biasa saya miliki. Kes kecurian seperti pecah almari selalu menjadi buah mulut pelajar asrama. 

Entah bagaimana di suatu pagi Isnin kad ATM yang biasanya saya selitkan di tempat rahsia di dalam almari saya ambil untuk dibawa bersama ke kelas. Saya risaukan kes pecah almari dan berasa curiga dengan semua orang. Asrama semakin lengang. Siren sudah berbunyi menandakan asrama perlu dikosongkan segera. Kerisauan yang tidak bertepi menyebabkan saya terlambat untuk menghadiri perhimpunan pelajar di dataran. Terkocoh-kocoh saya menuruni anak tangga dan berlari-lari anak menuju dataran. 

Bunyi bising kasut hitam yang sedikit bertumit menerjah ketika berlari di kaki lima bangunan. Saya cuba mengawal frekuensi bunyi berkenaan. Lantas gerak badan semakin kekok berlari. Papp.. bunyi sesuatu terjatuh ke lantai. Sempat saya menoleh dan terlihat kad ATM berbalut dengan resit bayaran peperiksaan SPM di atas nama saya kaku di lantai kaki lima. Seraya itu, saya terpandang seorang makcik pencuci kawasan sekolah sedang menyapu kaki lima di kawasan berhampiran. Pemikiran cetek saya mengandaikan bahawa makcik tersebut akan menjumpai kad saya dan mengembalikannya. 

Hati berdebar-debar menunggu perhimpunan tamat. Saya berlari ke tempat kejadian sebaik tamat perhimpunan. Makcik pencuci masih menyapu di kaki lima dan telah melepasi tempat kejadian. Kad ATM yang terjatuh saya tanyakan pada makcik berkenaan namun jawapan hampa. Otak ligat memikirkan suspek lain sedangkan saya adalah orang terakhir yang keluar dari asrama. 

Setelah abah dan mak pulang daripada mengerjakan haji, pihak bank telah menghubungi abah dek hutang yang sepatutnya ditolak secara automatik daripada akaun berkenaan mempunyai jumlah yang tidak mencukupi. Abah kehairanan. Saya ketakutan. Saya terlalu naif kerana menulis nombor pin kad ATM di belakang resit peperiksaan tersebut. Anehnya abah seorang yang garang tenang sahaja apabila saya menceritakan kisah sebenar. Rupa-rupanya pada hari kejadian abah dan mak terkandas di Pulau Pinang kerana masalah visa haji. Sepatutnya abah dan mak sudah berlepas ke tanah suci jika mengikut jadual. Abah dan mak menafsirkan bahawa mungkin Allah al-hakim mahu membersihkan harta mereka terhadap zakat yang terkurang sebelum mereka tiba di tanah Haram. 

Kes telah dilaporkan kepada pihak berkuasa namun kes ditutup kerana kecuaian. Perasaan berbaur. Saya kecewa kerana tiada tindakan sepatutnya namun turut rasa bersalah kerana cuai dalam menjaga amanah. Duit gaji abah sebanyak RM2560 habis begitu saja. Abah nampak redha dengan kejadian itu. Sehingga hari ini saya masih tertanya kenapa kejadian ini berlaku dalam sejarah hidup saya? Saya pernah berjanji dengan abah untuk membayar balik jumlah tersebut setelah berkerjaya. Rentetan itu, sebaik saja saya mendapat gaji pertama saya menghadiahkan RM400 setiap seorang kepada mak dan abah. Tidak lupa potongan terus ke akaun Tabung Haji mereka setiap bulan tanpa pengetahuan  mereka. Kini mereka sedia maklum mengenai potongan tersebut dan saya tidak pernah bercita-cita untuk menghentikan potongan tersebut walaupun jumlah RM2560 sudah lama langsai. InsyaAllah.

Setiap kejadian ada hikmah tersirat. Walaupun perit untuk dihadapi namun itulah yang takdir terindah untuk saya. Hati lebih tenang apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah.

No comments:

Post a Comment