Alhamdulillah. Allah menjentik rasa ingin melagukan bacaan kalamNya. Saya bercita-cita mahu belajar dan menguasai Tarannum.
Saya pernah menonton video seorang pengasas kosmetik yang lunak mengalunkan bacaan al-Quran. Ianya sangat mengujakan. Terkenang peristiwa bagaimana Saidina Umar al-Khattab r.a. yang terkenal dengan sifat garang akhirnya lembut hati dek lantunan bacaan suci kalam Allah. Beliau akhirnya memeluk Islam. Maha suci Allah. Mengambil ibrah daripada peristiwa tersebut saya daftarkan diri ke kelas mengaji gaya al-Baghdadi. Sungguh menyeronokkan.
Dahulu saya pernah menghadiri kursus di Sabah dan ditakdirkan menginap bersama-sama seorang jururawat yang juga merupakan qariah. Ke mana saja beliau pergi, quran terjemahan pasti bersama. Jika ada masa terluang pasti beliau membuka dan membaca dengan alunan seorang qariah. Beliau sering menjuarai pertandingan tilawah. Bacaan beliau menambahkan keterujaan saya untuk mendalami Tarannum.
Namun saya tidak pernah khatam Quran di usia kanak-kanak. Pengajian Quran saya hanya separuh jalan. Abah mengajar saya mengaji Quran tetapi dengan kaedah konservatif yang sangat garang dan menyakitkan. Saya tidak berminat dan mencari alasan untuk tidak mahu belajar dengan abah. Saya sedar al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW. Saya tidak mahu menjadi golongan yang rugi. Setelah terbang ke Korea, saya membaca Quran sendirian bermula daripada awal hinggalah tamat. Hanya berbekalkan Quran Sya, adik saya yang telah tamat kelas Qiraati. Sya telah mempelajari sedikit mengenai Taranum di kelas berkenaan. Betul salah tajwid hanyalah berdasarkan warna-warna yang tersedia di dalamnya. Akhirnya saya dapat menghabiskan membaca Quran tanpa mengetahui terjemahan apatah lagi untuk mengambil ibrah.
Lantunan bacaan yang mempunyai Tarannum saya rasakan sangat indah. Ianya begitu menenangkan jiwa. Saya mahu merasai keindahan tersebut!
No comments:
Post a Comment