Impian adalah doa. Impian menjadi pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menjadi kenyataan walaupun saya sedar, saya bukanlah kategori genius. Impian yang pada detik itu berorientasikan pandangan manusia namun Allah ar rahman mengabulkan impian tersebut. Saya pernah bisikkan hajat tersebut di dalam solat hajat yang menjadi adat musim peperiksaan di sekolah. Akhirnya saya bergelar pelajar SBP di sebuah sekolah elit di suatu ketika dahulu di utara tanah air. Jenan menggamit sejarah impian tidak kesampaian buat abah dek kekangan kewangan keluarga. Saya menelah mungkin Allah menangguhkan impian abah sehingga zaman saya.
Saya menyimpan kenangan Jenan lebih banyak yang muram daripada ceria sehinggakan alumni juga tidak berjaya mencuri perhatian saya. Saya dibuli secara mental, trauma. Sungguh.. Allah cuba mengajar agar jangan cepat melatah dan bersabar. Ampunilah mereka ya Allah.. boleh jadi mereka hanyut dengan nafsu keremajaan.
Tatkala menelusuri perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, masjid Jenan yang berada di tepi jalan menggamit memori silam. Di situlah hampir setiap malam saya rebah sujud membisikkan hajat mahu ke luar negara sempena agenda solat hajat di musim peperiksaan SPM. Tiada tangisan, hanya tunduk rebah kepada Sang Pencipta menyampai hajat. Tidak pasti dengan keupayaan diri. Saya lemah di dalam subjek kritikal seperti Kimia dan Fizik. Saya pernah ditempatkan di kelas 'ICU Kimia'. Kelas yang dicipta khas buat pelajar-pelajar corot. Hakikatnya kelas tersebut banyak memperbetulkan fahaman Kimia saya. Alhamdulillah, terima kasih Allah.
Detik 28 Februari 2001 keputusan SPM diumumkan. Syukur ya Allah saya lulus dan kredit semua mata pelajaran dengan cemerlang untuk empat subjek. Tawaran biasiswa JPA yang saya gunting daripada surat khabar disimpan di bawah katil. Allah telah menggerakkan hati Bang Mi agar memaklumkan mengenai iklan biasiswa tersebut kepada saya. Bang Mi adalah abang sepupu yang merupakan seorang guru Sejarah. Lantas saya membongkar mencari keratan itu dan luluh hati apabila saya dapati keputusan subjek Bahasa Inggeris tidak menepati syarat. Hancur harapan mahu ke negara 'orang putih'. Namun keputusan itu masih layak untuk menyahut seruan Dasar Pandang ke Timur!
Sesungguhnya rezeki Allah tidak pernah sesat jalan. Itulah janji Allah yang pasti. Terlalu banyak nikmat Mu yang telah didustai. Ampunkan saya ya Allah...
No comments:
Post a Comment